FEBRUARI 2022

Laporan IGC, MA63 Dibuku


KUCHING: Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri 15 Februari lalu mencerminkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebenarnya.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, RUU itu penting kerana status Sarawak tidak sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia sebab mereka tidak menandatangani MA63 itu.

RUU itu dibuat susulan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan pada 11 Febuari 2022, katanya semasa Program Wacana Jiwa Bakti- Utusan Sarawak di Studio Samudra, Hotel Samudra, Jalan Nanas di sini.

Ahli panel program itu ialah Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, UNIMAS, Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai dan moderatornya, Penasihat Editorial Kumpulan Utusan Sarawak/Mingguan Sarawak dan Jiwa Bakti, Kadir Dikoh.

Menurut Sharifah Hasidah, ia mencatatkan satu lagi sejarah apabila sebahagian daripada tuntutan Sarawak dan Sabah ke atas hak yang terhakis seperti termaktub dalam MA63 dikembalikan.

RUU Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang diluluskan itu menukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’ dan gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri, dan mengekalkan status sebagai tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia, katanya.

Ditanya mengenai dokumen paling penting diperoleh hasil daripada lawatan rombongan ke London untuk mencari fakta tambahan berkaitan MA63, Hasidah berkata, paling penting ialah laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Dalam laporan itu banyak perkara yang ditulis berkaitan MA63. Justeru, kami menggunakan laporan IGC itu untuk menuntut kembali hak Sarawak yang terhakis. Dalam laporan IGC itu juga tersimpan minit mesyuarat dan telegram,” katanya.

Sehubungan itu, kata Hasidah laporan IGC dan MA63 akan dibukukan oleh Jabatan Ketua Menteri nanti.

Manakala Rang Undang-Undang Interpretasi (Pindaan) 2022 yang diluluskan sebuat suara, katanya, 12 lagi suku kaum iaitu kaum Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa’ban, Tatau, Tring dan Vaie sebagai Bumiputera Sarawak.

Kerajaan Sarawak mengemaskini undang-undang negeri itu bertujuan memelihara keunikan tradisi, identiti, sosial, budaya dan asal usul kaum di negeri ini, katanya.

Dengan meminda Perlembagaan Persekutuan terutamanya Artikel 161A, beliau berkata, Sarawak diberi kuasa untuk menentukan kaum yang mana diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak mengikut Undang-Undang negeri dan memberi jaminan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memastikan ia tidak disalah guna dan diekploitasikan.

Hasidah menegaskan, Sarawak akan terus memperjuang untuk menuntut kembali hak yang terhakis dalam bidang kehakiman, sempadan laut dana peruntukan, jawatan dalam perkhidmatan awam, isu tanah dan banyak lagi.

Sementara itu, Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai pula berkata, dengan kelulusan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak itu, Sarawak kini mempunyai kuasa autonominya sendiri dan tidak perlu lagi mengikut arahan daripada persekutuan.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang baharu itu, Kerajaan Persekutuan harus mengiktiraf Sarawak sebagai ‘equal patner’ dan Kerajaan Negeri Sarawak pula perlu membuat pembaharuan mengikut apa yang diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.

Sumber dari : Jiwa Bakti